Lalat … Eh ralat!

Ala.

Aku juga manusia. Aku sudah cuba yang terbaik untuk elak melapor cerita alias berita yang tidak sahih. Al-Ghazali juga walaupun merekodkan larangan melaporkan hadits yang plasu, juga terselit dalam Ihya’nya hadits-hadits yang palsu. Ia tidak disengajakan, kerana kelemahannya sebagai seorang manusia.

Aku menarik balik catatan Sahabat Pengantin Baru. Kerana sepakat 5 rakan sejawat aku cuai untuk menyemak kesahihan berita itu.

Mohon maaf.

Published in: on Julai 11, 2009 at 5:07 am  Tinggalkan Komen  

Love is not about winning

Hidup bukan macam perang. Sama ada membunuh atau dibunuh. Antara menang atau mati.

Hidup juga bukan macam main bola, menjaringkan gol atau dijaringkan gol. Selalunya antara menang atau kalah, jarangnya seri. Kalau seri pun, nanti akan ada sepakan penalti. Hidup bukan begitu kawan.

Inilah falsafah persaingan. Untuk hidup, maka ada orang lain yang perlu mati. Untuk menang akan ada orang yang perlu dikalahkan. Jika mahu kaya, makan perlu ada orang miskin. Seandainya kita mahu untung, maka fikir bagaimana mahu merugikan orang lain.

Ini falsafah yang fatal saudaraku. False. Untuk bahagia, perlukan kita buat orang lain derita.

Cinta juga begitu. Cinta bukan persaingan. Itu sebab mengapa aku tegar membiarkan ‘dia’ pergi dahulu. Ia bukan persaingan. Kalau dia tegar memebiarkan ada orang lain duduk dalam hatinya menyingkiri aku, justeru untuk apa lagi aku menunggu.

Love is not about winning.

Dalam cinta tidak perlu ada persaingan. Semua orang berhak bahagia. Orang kaya berhak bahagia, begitu juga orang miskin. Orang hitam mahu bahagia, juga orang-orang putih.

Aku mahu bahagia, bersama atau tanpa dia.

Andai dia mahu kembali, pesan aku “berusahalah”. Namun untuk aku toleh semua ke belakang, sukar untuk aku ya.

Keranan mimpi itu sentiasa berada di hadapan. Yang lepas hanya kenangan. Dan kenangan itu adalah sesuatu yang paling jauh dalam hidup kita. Noktah.

Published in: on Julai 5, 2009 at 4:25 am  Tinggalkan Komen  

Jauh

Kuala Lumpur ke Johor Bahru hari ini tidaklah jauh. Semalaman boleh sampai. Malam ini aku ke Pulau Pinang. Esok pulang semula. Dan Ahad bersiap-siap untuk ke Johor Bahru pula. Memandu, bukan ‘terbang’. Ia tidak semudah itu. Tetapi semuanya sudah jadi dekat. Ini kan zaman Lebuh Raya Utara selatan.

Bahkan mengelilingi dunia hari ini, sudah boleh dalam beberapa hari sahaja. Ke Mekkah dalam beberapa jam. London, Paris, New York dan Filipina juga begitu. Dan baru sahaja Dr Sheikh pulang dari bulan. Esok-lusa mungkin benar-benar Megatron dan Autobost benar-benar hadir dari galaksi yang lain. Semuanya sudah jadi dekat.

Namun yang kekal jauh ialah apa yang telah kita tinggalkan. Itulah masa lalu. Walaupun ia baru sahaj berlaku pagi tadi, namun ia sudah pergi sangat jauh melewati galaksi dan 7 petala langi dan bumi. Percayalah.

Semalam tidak akan dapat berulang lagi hari ini. Apa yang kita sia-siakan semalam tidak akan pernah mungkin kita peroleh lagi. Kalaupun yang hilang itu berupaya diganti, namun ia tidak akan sama. Sekalipun yang patah itu akan lekas tumbuh, namun yang tumbuh itu adalah tunas baru.

Justeru, untuk sesal atau menagih kesempatan dan peluang buat kali kedua, tidak memberikan apa-apa makna.

Kawan datang dan pergi. Yang pergi, kalaupun esok kembali semula, ia tetap tidak sama. ‘Time change, people change’. Banyak pun kawan-kawan yang dulunya meninggalkan kita, kembali semula hari ini. Namun kawan yang kita kenal dahulu sudah lama pergi. Yang kembali ialah orang lain.

Aku mahu berhenti mengharap sesuatu yang hampir mustahil. Mengharap kenangan manis masa lalu, berulang. Kerana masa lalu itu adalah sesuatu yang paling jauh meninggalkan kita. Sangat jauh.

Berdoa sahaja, agar momen indah itu berulang di sorga.

Published in: on Julai 3, 2009 at 8:59 am  Tinggalkan Komen  

Sesal!

Terima kasih kepada seorang kenalan yang sudi memberi respon kepada entri saya.

Aku pernah hilang macam-macam dalam hidup aku. Sungguh. Semua orang pun begitu. Kematian berada di mana-mana. Hilang orang yang kita sayang kerana mati, itu lumrah.

Hilang

Aku pernah hilang sebuah motosikal kesayangan beberapa tahun yang lalu. Rxz. Aku beli tunai. Hilang dicuri di hadapan kafe siber.

Aku pernah hilang komputer riba. Sekali kereta sahabat aku dipecahkan cermin di depan Tesco Ampang. Dan sekali lagi dirembat seseorang yang tidak aku kenal. Kes samun. Dua kali.

Aku pernah hilang juga seutas jam tangan yang abah hadiahkan. Itu masa sekolah. Tercicir dalam sungai ketika ‘river tracking’. Aku himpun-himpun duit belanja bulanan untuk beli semula jam model yang sama. RM 120.00 pada tahun 1996 bukan nilai yang sedikit. Abah beri aku RM 30.00 setiap bulan. Aku puasa makan petang dan makan kantin pada waktu rehat.

Pada mula-mula kehilangan itu semua, sungguh-sungguh bagai guntur di langit. Langkah aku longlai. Seolah semua awan bergumbal membelit aku. Itulah rasanya.

Namun tuhan tentukan, masa membantu aku menanganinya. Alah bisa tegal biasa.

Aku mengajar diri aku untuk selalu bersedia dengan kemungkina yang terburuk. Tahukah kalian aku pernah dipenjarakan beberapa jam di sebuah sel bersama banduan-banduan asing. Ya, sungguh. Dan kerana itu, Ady menyatakan aku selangkah mendekati Nabi Yusuf dan Imam Ahmad b Hanbal. Aku senyum.

Namun semua-semua kehilangan itu aku sisip dibawah tilam sahaja. Sehingga hari ini riwayat-riwayat kehilangan dan ujian yang aku lalui tidak diriwayatkan secara mutawatir. Tidak sampai 5 orang dalam dunia ini mampu menghimpunkan kebenaran itu.

Tuhan menakdirkan. AKu menerima dengan redha.

Seperti mana jawab Ayub alaihisalam ketika diuji dengan kehilangan keluarga dan harta. Katanya, sekian nikmat itu diberi oleh Allah, dan Dia berhak untuk ambil pada bila-bila masa dan pada bila-bila ketika yang Dia mahu.

Sesal! Tidak sama sekali. Semoga Tuhan meneguhkan kaki dan hati aku atas jalan yang Dia redha.

Terima kasih, Kaery.

Published in: on Julai 3, 2009 at 2:46 am  Comments (1)